Saturday, July 17, 2010
Khyusuk Dalam Solat
Assalammualaikum...
Anak-anakku sekelian.
Marilah sama-sama kita renungkan artikel Sdra Fuad Latif ini agar ia menjadi satu suntikan kepada kita dalam melaksanakan ibadat solat kita. Semuga ianya dapat meningkatkan lagi hubungan kita dgn Allah terutama semasa kita solat.
Saudara,
Ketika saya menjelaskan tentang hal khusyuk pada tahun lepas (29 Julai 2009 - Baca Artikel di sini) bahawa kita mesti khusyuk dahulu pada Allah SWT barulah mudah untuk sabar dan solat, ada yang tidak setuju. Mereka berkata bahawa kita perlu solat dan barulah capai khusyuk dan sentiasa sedar di dalam solat.
Kefahaman yang silap ini membuatkan ramai yang mencari khusyuk itu di dalam solat sehingga merekacipta pelbagai kaedah untuk mencapai khusyuk sedangkan makna khusyuk itu jelas dan sangat jelas di dalam firman Allah SWT:
Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Iaitu) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya
(QS: Al Baqarah 2: 45)
“Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu hampiri solat sedangkan kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengetahui apa-apa yang kamu cakapkan.
(QS: An-Nisa’: 43)
Jelas makna khusyuk adalah mereka yang YAKIN BERTEMU dengan Allah dan kembali kepadaNya. Kemudian dilarang solat jika mabuk kerana orang mabuk tidak sedarkan Allah dan pasti tidak bertemu dengan Allah SWT pada awalnya lalu pasti sia-sia solatnya.
Cth mudah: Saya harus berjumpa dengan rakan saya dahulu sebelum saya berkata-kata dengannya. Sama dengan Allah SWT, saya perlu bertemu dengan Allah SWT atau sedar ke Allah SWT dahulu, barulah memuja dan memuji Allah SWT. Sederhanakan?
Kita seharusnya merasa dengan sebenar-benar rasa dengan sedar penuh yang kita sedang bertemu dengan Allah SWT. Kita sentiasa bertemu dengan Allah SWT kerana Allah SWT sentiasa ada sangat dekat dengan kita.
Cuba diam sejenak dan rasakan pertemuan dengan Allah SWT. Untuk bertemu dengan Allah SWT harus kenal Allah SWT. Untuk kenal, sila baca artikel ini dahulu. (Sedar Akan Allah).
Rasakan sendiri. Setelah rasa barulah saudara faham dan ia tidak mampu diceritakan dengan bahasa dan tulisan.
Jika sedar ke Allah SWT ini terus dijaga dan dilatih untuk meningkatkan rasa di mana rasa ini ebenarnya iman kita, maka apakah ada masalah di dalam hidup kita ini untuk SABAR DAN SOLAT?
Jiwa Positif Hidup BerTuhan sebenarnya membawa saudara semua untuk sedar sentiasa di dalam setiap aktiviti harian. Saudara boleh berkomunikasi dengan Allah SWT kerana fikiran kita ini tidak boleh dikosongkan. Fitrah atau Sunnatullah itu menjadikan otak ini kerjanya berfikir. Mana mungkin mengosongkan. Hanya orang mati yang tidak berfikir. Lalu apa yang disarankan di dalam komunikasi agar kita ceritakan apa yang kita lakukan, fikirkan dan sebagainya kepada Allah agar kita fokus hanya kepada Allah SWT.
Jika kita tidak menceritakan pun, kita tetap berfikir dan cakap sorang-sorang (mind chat).
Kemudian diajarkan DIAM DAN SEDAR kepada Allah SWT untuk meningkat lagi kesedaran kita. Diam merupakan puncak peribadatan. Di dalam diam dan sedar ini pun, kita tidak mampu mengosongkan fikiran kita. Cuma boleh meminimumkan fikiran kita sahaja.
Apabila kita sentiasa berkomunikasi dengan Allah SWT dan kesedaran kita kepada Allah SWT diperkuat setiap hari dengan hanya diam dan sedar ke Allah SWT, makanya kesedaran kita sangat kuat dan kita setiap saat ingat dan sedar akan Allah SWT di dalam setiap apa yang kita lakukan.
Walaupun ada yang tidak setuju dengan komunikasi dengan Allah SWT ini, namun jika dilakukan pasti akan terasa hidup ini sentiasa sedar kepada Allah SWT di dalam setiap pekerjaan kita.
Komunikasi dengan Allah SWT adalah sesuatu yang mudah untuk dilakukan untuk sesiapa sahaja. Dari sini akan lahir rasa sedar ke Allah. Komunikasi bertujuan menjaga kesedaran yang kita bina di dalam latihan sedar (patrap) kepada Allah SWT. Ketika bekerja, kita akan banyak berfikir. Komunikasi dengan Allah SWT mampu menghalang kesedaran kita mengikut fikiran kita semata-mata hingga hilang kesedaran kepada Allah SWT.
Walaupun dikatakan sedar automatik, kesedaran ini mampu hilang disebabkan otak kita berfikir pelbagai hal. Ia dikuatkan sentiasa dengan komunikasi dengan Allah SWT apa yang difikirkan. Kemudian dikuatkan lagi dengan diam dan sedar ke Allah.
Mereka yang melakukan patrap juga akan berkomunikasi dengan Allah SWT di dalam hidup seharian mereka yang mereka kenali sebagai sedar secara automatik. Ketika sedar, mana mungkin kita hanya diam sahaja. Pasti akan berkata-kata dengan Allah SWT.
Saya menceritakan cara komunikasi ini agar mudah diterima oleh sesiapa sahaja termasuk mereka yang lupa Allah SWT yang sentiasa melakukan maksiat dan sebagainya agar mereka sedar kepada Allah SWT. Dengan sedar kepada Allah SWT, pasti Allah SWT akan mengilhamkan taqwa kepada mereka kerana untuk mendapatkan ilham yang baik, hanya perlu sedar kepada Allah SWT. Nanti pasti akan dituntun oleh Allah SWT.
Mana mungkin orang yang hidupnya sentiasa lupakan Allah, kita hadapinya dan terus mengajaknya untuk terus sedar penuh kepada Allah SWT. Pasti penolakan yang besar akan kita terima daripada mereka. Lalu komunikasi dengan Allah SWT diperkenalkan agar mudah diterima untuk permulaan sedar pada Allah SWT.
******
Ketika sedar dengan Allah SWT (khusyuk), maka tidaklah menjadi masalah untuk kita sabar dan menunaikan solat. Ketika ditimpa musibah atau masalah, kita tidak celaru, sempit jiwa dan sebagainya kerana kita sentiasa khusyuk atau sedar penuh kepada Allah SWT.
Khusyuk itu yakin bertemu dengan Allah SWT di mana kita sedar penuh dan sentiasa berasa Allah SWT itu sentiasa dekat dengan kita. Jika kita sudah yakin kerana sentiasa rasa sedar penuh kepada Allah SWT, maka sabar dan solat itu adalah ringan sahaja.
Ketika solat, kita tidak lagi menjadi masalah untuk rasa khusyuk kerana kita sememangnya sentiasa rasa sedar kepada Allah...sentiasa rasa bertemu atau berjumpa dengan Allah SWT. Lalu kita mendirikan solat sebagai gerakan dan bacaan MENUHANKAN Allah SWT.
Solat itu pertemuan dan sambung ke Allah SWT. Solat itu pertemuan official atau rasmi di mana kita tidak melakukan kerja selain gerakan solat dan memuja dan memuji Allah SWT.
Berbeza dengan ibadah yang lain kerana ibadah lain kita sedar ke Allah ketika melakukan kerja lain. Ketika bekerja menyiapkan laporan sebagai contoh, kita sedar kepada Allah SWT. Ketika kita belajar, berjalan, makan, beraktiviti dan sebagainya tetap kita sedar ke Allah SWT. Ketika ini mana mungkin kita diam atau fikiran menjadi kosong.
Sebab itu saya sarankan 2 perkara iaitu latih kesedaran dengan Diam dan Sedar akan Allah SWT. Latih dan kukuhkan kesedaran kepada Allah SWT. Sedar ke Allah adalah pertemuan dengan Allah SWT dan bertemulah dengan Allah SWT setiap saat. Latihlah dengan cara begini:
1. fahami dahulu (Sedar Akan Allah).
2. Sedar ke Allah yang Maha Meliputi.
3. Terus sedar....kukuhkan kesedaran....
Lakukannya selalu.
Kemudian melakukan komunikasi dengan Allah SWT untuk menghalakan fikiran kita terhadap pekerjaan kita kepada Allah SWT. Bertujuan agar sedar yang dikatakan automatik itu sentiasa dijaga dan tidak dipengaruhi oleh fikiran pekerjaan kita yang mampu membawa sedar kita kepada Allah SWT itu kepada fikiran kita.
Apabila kita khusyuk sentiasa iaitu yakin bertemu dengan Allah, yakin Allah SWT dekat dan meliputi kita dan segala sesuatu, maka ketika kita solat, berdoa, bertasbih, bertahmid, bertakbir, berselawat dan sebagainya, pasti yang ke Allah SWT itu adalah diri kita. Bukan jasad kita. Kerana kita yang sedar yang ke Allah SWT.
Semoga artikel ini menguatkan artikel-artikel yang pernah saya tulis sejak hampir 2 tahun yang lalu. Semoga Allah SWT diberikan kefahaman rasa dan kita sentiasa SEDAR kepada Allah swt.
Semuga ianya menjadi bahan untuk kita lebih lagi dapat mendekatkan diri kita dengan Allah swt. ameen....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment